Sekolah Berasrama Penuh: Strategi Kecemerlangan

This Is Aidil
9 min readApr 18, 2024

--

Lokasi: SM Sains Alam Shah, KL

Sebagai seorang bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP), saya mengaku bahawa SBP telah banyak mengubah cara hidup dan cara fikir saya. Perubahan yang cukup ketara dapat saya lihat dalam diri saya dari segi etika, personaliti dan keterampilan.

Sepanjang 5 tahun persekolahan saya di SBP, pelbagai jenis soalan yang pernah ditanyakan kepada saya dan rakan-rakan. Antaranya,

“Kenapa budak SBP pandai-pandai?”

“Apa beza SBP dengan sekolah harian biasa?”

“Kenapa sekolah top kebanyakannya SBP?”

Bagi mereka yang tidak pernah merasai sendiri suasana kehidupan di SBP, pasti mereka beranggapan bahawa SBP sama sahaja seperti sekolah menengah lain yang ada di Malaysia.

Bagi mereka, SBP lebih hebat daripada sekolah harian biasa kerana budak-budak pandai dari sekolah harian dikumpulkan dan ditempatkan di SBP. Jadi, bilangan budak-budak pandai di sekolah harian berkurang tetapi bertambah di SBP.

Secara asasnya, perkara yang dikatakan itu benar dan tepat sekali. Tetapi, mereka terlepas pandang satu perkara; Bagaimana SBP mengekalkan prestasi pelajar mereka?

Jika pelajar-pelajar cemerlang ditempatkan di SBP, tetapi SBP tidak mengambil berat tentang perkembangan potensi mereka, maka sudah pasti pelajar-pelajar ini tidak akan terus cemerlang malah mengalami kemerosotan prestasi.

SBP ditubuhkan sebagai institusi pendidikan yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang dari seluruh negara di dalam suatu persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berfokus agar bakat dan prestasi mereka dapat dikembangkan ke tahap yang lebih tinggi.

Disebabkan itu, ramai pelajar cemerlang dari sekolah harian menjadi semakin cemerlang ketika berada di SBP kerana SBP memandang serius akan perkembangan kualiti pelajar-pelajar tersebut.

Persoalannya, apakah yang dilakukan oleh SBP sehingga dapat menjamin kualiti pelajar-pelajar mereka?

1. Penekanan terhadap agama

Asas atau foundation bagi setiap yang bergelar manusia adalah agama.

Di SBP, agama adalah aspek yang sangat dititik beratkan dalam membentuk peribadi dan sahsiah para pelajar. Jangan salah faham, ini bukan bermakna SBP setaraf dengan pusat-pusat pengajian agama seperti SAM, SMKA dan Maahad Tahfiz. SBP hanya menerapkan asas-asas agama dalam diri pelajar-pelajar mereka.

Solat berjemaah merupakan salah satu amalan yang diwajibkan di SBP. Bagi setiap pelajar SBP, mereka diwajibkan untuk menunaikan solat fardu 5 waktu secara berjemaah di surau sekolah. Perkara ini sangat dipandang serius sehingga perkara tersebut menjadi salah satu daripada peraturan rasmi sekolah. Bagi kebanyakan SBP, pelajar yang didapati tidak menunaikan solat berjemaah dianggap melanggar peraturan di bawah kategori A (kesalahan berat)

Diambil dari buku peraturan SM Sains Alam Shah, KL

Selain daripada amalan solat berjemaah, amalan-amalan seperti solat sunat qabliah, solat sunat hajat, puasa sunat, usrah, bacaan Yaasin dan tazkirah juga turut diamalkan di SBP. Bagi sesetengah SBP, mereka mengamalkan amalan memberi salam sesama pelajar, selawat, bacaan al-Mathurat dan bacaan doa Rhabitah dalam aktiviti harian mereka.

Kesan yang para pelajar perolehi daripada amalan-amalan ini ialah mereka dididik untuk menjadi manusia yang berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi, dalam masa yang sama dapat meningkatkan kualiti ibadah mereka.

2. Perpaduan antara pelajar

Perpaduan atau Unity merupakan resipi rahsia bagi kejayaan SBP dalam aspek akademik.

Saya mungkin salah dalam hal ini. Tapi, perkara yang saya dapat perhatikan daripada pelajar-pelajar sekolah harian ialah mereka lebih rapat sesama rakan sekelas mereka berbanding dengan rakan kelas-kelas lain.

Apa yang saya dapat lihat ialah pelajar-pelajar sekolah harian menghabiskan masa persekolahan mereka bersama-sama rakan sekelas di dalam kelas yang sama. Antara masa mereka dapat menyapa batchmate dari kelas-kelas lain adalah pada waktu rehat dan perhimpunan sahaja.

Komunikasi yang kurang ini menyebabkan hubungan sesama rakan setingkatan atau batchmate menjadi lemah atau kurang erat.

Berbeza dengan pelajar SBP, mereka menjalani kehidupan seharian bersama-sama sebagai satu batch. Mereka belajar, makan, beribadah, bermain dan berehat bersama-sama. Ini secara tidak langsung menguatkan ukhwah atau hubungan sesama mereka.

Ketika berada di asrama, pelajar-pelajar SBP akan menggunakan masa mereka untuk mengulang kaji pelajaran. Jika ada di antara mereka yang mempunyai persoalan berkaitan sesuatu topik, mereka boleh terus meminta bantuan daripada batchmate yang lain.

Jika ada di antara mereka yang lalai atau leka dengan menghabiskan masa melakukan perkara tidak berfaedah, ada batchmate lain yang dapat menegur mereka supaya melakukan perkara yang memberikan manfaat seperti mengulang kaji atau beriadah.

Apabila kita berada di dalam satu suasana yang penuh dengan orang-orang yang tekun berusaha, sentiasa positif dan memberikan sokongan sesama sendiri, kita akan secara automatik menjadi lebih baik dan produktif.

Perpaduan inilah yang menjadi kunci kejayaan sekolah-sekolah SBP terutamanya dalam aspek akademik. Kenapa pelajar SBP kekal pandai? Kerana mereka semua membantu sesama sendiri. Kerana mereka tidak meninggalkan batchmate mereka yang lemah. Kerana mereka bergerak sebagai satu keluarga dan sebagai satu BATCH.

suasana pelajar-pelajar SM Sains Alam Shah, KL sebelum menduduki SPM 2023

3. Perkembangan prestasi pelajar

Penglibatan dalam program dan pertandingan menjadikan pelajar SBP lebih kompeten.

Salah satu kelebihan atau perk menjadi seorang pelajar SBP adalah para pelajar lebih terdedah kepada peluang-peluang untuk menyertai pelbagai program atau pertandingan. Lihat sahaja laman sesawang atau media sosial rasmi sekolah-sekolah SBP, pasti ada sahaja pencapaian pelajar-pelajar mereka yang dimuat naik setiap minggu.

SBP mahu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam semua bidang bukan sahaja akademik, malahan sukan dan ko-kurikulum. Untuk mencapai hasrat ini, SBP memastikan agar semua pelajar diberikan peluang untuk turut serta dalam pelbagai jenis aktiviti di luar kelas.

Secara peribadi, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada sekolah saya kerana telah memberikan banyak peluang untuk saya dan batchmate menyertai program dan pertandingan yang berprestij bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

Penglibatan saya dan rakan-rakan dalam KSA Science Fair di Busan, Korea Selatan

Penglibatan para pelajar ini secara tidak langsung dapat memberikan banyak manfaat kepada mereka. Antaranya, mereka akan menjadi lebih kreatif dan berdaya saing. Kelebihan lain yang mungkin kurang difokuskan adalah para pelajar dapat menjadi lebih berkarisma dan berketerampilan ketika mereka bergaul dengan para pelajar dari sekolah-sekolah lain.

4. Khidmat Guru-guru berkualiti

Guru-guru ialah ibu bapa pelajar di sekolah. Kehadiran guru-guru berkualiti memainkan peranan penting dalam membentuk seseorang pelajar.

Kemana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?

Tidak boleh dinafikan, kualiti guru-guru di SBP adalah yang terbaik saya pernah jumpa. Mereka memberikan sepenuh komitmen dalam menjalankan tugas sebagai pendidik.

Kualiti yang paling jelas dapat dilihat oleh guru-guru SBP adalah tahap penguasaan mereka dalam subjek yang diajar. Mereka sememangnya pakar atau expert dalam bidang masing-masing. Tidak hairanlah perkara begitu terjadi memandangkan mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang hebat.

Di sekolah saya, terdapat beberapa orang guru yang bagi saya cukup expert dalam bidang mereka.

Antaranya, guru kimia saya. Selama 2 tahun saya belajar subjek kimia bersama beliau, sangat jarang untuk melihat beliau menggunakan buku teks sebagai rujukan. Beliau sememangnya sudah khatam keseluruhan buku teks menyebabkan beliau boleh mengajar keseluruhan silibus tanpa membuat rujukan buku teks. Apa yang lebih hebat, beliau boleh membuat sebarang contoh atau soalan sendiri tanpa bantuan buku. HEBAT KAN?

Selain itu, pengorbanan guru-guru SBP dalam menjalankan kelas tambahan juga menjadi salah satu faktor kecemerlangan SBP. Sebenarnya, bukanlah menjadi kewajipan untuk guru-guru menjalankan kelas tambahan untuk para pelajar. Tetapi, guru-guru di SBP tidak pernah mengenal erti penat dan lelah menyebabkan mereka sanggup untuk menjalankan kelas tambahan dengan kerap.

Tidak cukup dengan kelas tambahan pada waktu petang, guru-guru SBP sanggup datang ke sekolah pada waktu malam untuk menjalankan kelas tambahan. Bukan pada musim SPM sahaja, usaha mereka sudah ditunjukkan sejak awal sesi persekolahan lagi. Ini bermakna, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga mereka dalam menjalankan kelas tambahan untuk sepanjang tahun persekolahan. Pengorbanan mereka sememangnya tidak terbalas.

TERIMA KASIH CIKGU!

5. Peluang menyerlahkan bakat kepimpinan

Pelajar-pelajar SBP bukan hanya dididik untuk menjadi pelajar cemerlang, tetapi juga untuk menjadi pemimpin bertaraf dunia.

Semestinya pelantikan jawatan-jawatan seperti pengawas, ketua kelas, dan ketua-ketua kelab menjadi kewajipan di semua sekolah. Tetapi, terdapat banyak lagi jawatan-jawatan lain yang ada di SBP bertujuan untuk memberikan peluang kepada semua pelajar memantapkan lagi kemahiran memimpin mereka.

Majlis Tertinggi Pelajar

Jawatan-jawatan seperti Ketua Pengawas dan Timbalan Ketua Pengawas bukanlah jawatan yang asing malah jawatan-jawatan tersebut wujud di semua jenis sekolah menengah. Tapi, apa yang membuatkan jawatan-jawatan itu berbeza di SBP adalah dari segi pelaksanaannya.

Di SBP, jawatan Ketua Pengawas dikenali dengan nama Ketua Pelajar (sesetengah SBP menggunakan Ketua Umum). Ketua Pelajar bertanggungjawab dalam memimpin para pelajar dalam semua aspek termasuklah disiplin, akademik, asrama dan sebagainya. Bukan hanya di sekolah, Ketua Pelajar juga memainkan peranannya semasa para pelajar berada di asrama.

Ketua Pelajar dibantu oleh ahli Majlis Tertinggi yang lain seperti Timbalan Ketua Pelajar, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Asrama. Bagi membantu Majlis Tertinggi, terdapat juga biro-biro berkaitan aspek seperti Akademik, Asrama, Santapan, Disiplin, 3K dan banyak lagi.

Majlis Tertinggi Rumah

Perkara menarik yang terdapat di SBP adalah penekanan terhadap aplikasi sistem rumah dalam kehidupan seharian pelajar. Setiap pelajar yang baru mendaftar ke SBP akan diberikan satu ‘rumah’. Rumah yang dimaksudkan adalah sama dengan rumah sukan yang ada di sekolah-sekolah menegah lain. Jadi, setiap pelajar akan diberikan satu rumah daripada 4 rumah (beberapa SBP ada lebih daripada 4 rumah).

Sistem rumah di SBP bukan hanya digunakan pada hari sukan. Tetapi, sistem rumah ini menjadi aspek penting dalam kehidupan para pelajar. Mereka ditempatkan di dalam dorm yang dikelaskan mengikut rumah. Seperti di sekolah saya, setiap tingkat di blok asrama dikhaskan untuk satu rumah.

Penerapan sistem rumah yang serius di SBP membuatkan institusi rumah tersebut memerlukan tonggak kepimpinan yang hebat. Ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk memimpin rumah mereka menjadi rumah terbaik. Dengan itu, lahirlah Majlis Tertinggi Rumah yang meliputi jawatan-jawatan seperti Kapten Rumah, Timbalan Kapten Rumah, Setiausaha dan Bendahari.

Majlis Tertinggi Rumah bertanggungjawab dalam menjaga ahli-ahli rumah di asrama. Segala hal pelajar di asrama berkaitan kebersihan, kesihatan, disiplin dan kebajikan adalah di bawah tanggungjawab Majlis Tertinggi Rumah.

Dengan adanya Majlis Tertinggi Pelajar dan Majlis Tertinggi Rumah, maka para pelajar akan lebih terdedah kepada peluang untuk memimpin pelajar lain.

Kerjasama antara Majlis Tertinggi Pelajar dan Majlis Tertinggi Rumah pula secara langsung dapat menjamin penjagaan disiplin dan kemenjadian setiap pelajar pada waktu persekolahan mahupun waktu di asrama.

6. Fokus ke arah kecemerlangan akademik

“With great power comes great responsibility” — Uncle Ben

Apabila seseorang bergelar pelajar SBP, tanggungjawab yang dipikulnya kini adalah untuk melakar kecemerlangan. Kecemerlangan yang dimaksudkan adalah meliputi aspek ko-kurikulum, sukan, sahsiah dan yang paling utama, AKADEMIK.

Beza utama SBP dengan mana-mana sekolah menegah yang lain adalah SBP menyediakan ruang pembelajaran yang memfokuskan pelajar-pelajarnya untuk mencapai kecemerlangan akademik iaitu mendapatkan Straight A’s dalam SPM.

Di SBP, rekod pencapaian SPM adalah sangat penting dan menjadi satu kemestian untuk setiap SBP mengekalkan rekod cemerlang SPM masing-masing. Suasana yang kompetitif antara sekolah SBP ini menjadikan mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan kualiti sekolah masing-masing.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa sekolah yang berorientasikan peperiksaan adalah tidak sesuai untuk dilaksanakan kerana ia akan memberikan tekanan kepada para pelajar.

Tetapi itulah tujuan utama SBP ditubuhkan iaitu untuk melahirkan pelajar-pelajar dengan daya intelektual yang tinggi. Para lepasan SBP adalah bakal ahli korperat, menteri, eksekutif, pensyarah, jurutera, doktor, teknokrat dan sebagainya. Maka, wajarla SBP mengharapkan pelajarnya untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam setiap peperiksaan.

Ish, macam kejam sangat je SBP ni.

Tidak adil untuk mengatakan bahawa SBP itu kejam. Bagi saya, walaupun SBP menggesa pelajar-pelajar mereka mendapatkan keputusan Straight A’s dalam SPM, pada masa yang sama mereka menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif, bantuan guru-guru cemerlang dan peluang melakukan aktiviti di luar kelas untuk para pelajar mereka. Jadi, perkembangan pelajar adalah mengikut pace yang bersesuaian dan tidak terlalu ekstrim.

Fikir semula, ada banyak lagi jenis sekolah lain yang memfokuskan pelajar-pelajar mereka terhadap satu bidang. Kita ada sekolah ketenteraan seperti Maktab Tentera Diraja, sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Bukit Jalil, sekolah seni seperti Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.

Sekolah-sekolah ini mahukan pelajar-pelajar mereka cemerlang dalam bidang masing-masing. Pelajar-pelajar mereka perlu berlatih siang dan malam untuk mencapai sasaran yang sekolah mereka tetapkan. Perkara yang sama seperti SBP yang memfokuskan pelajar mereka dalam bidang akademik.

Masih rasa SBP kejam? Bagi saya, tidak sama sekali. Kita semua sedia maklum yang SBP mahukan pelajar-pelajar mereka mendapatkan straight A’s dalam SPM. Kalau anda rasa budaya SBP tidak sesuai dengan anda, jangan pilih SBP. Mudah.

Konklusi

Sebenarnya, masih terdapat banyak lagi sebab sekolah-sekolah SBP menjadi antara sekolah terbaik di Malaysia. Antara sebab lain adalah penekanan terhadap kehidupan berdikari, penjagaan masa yang mantap dan persatuan alumni yang aktif. Tapi, bagi saya, perkara-perkara yang saya senaraikan ini adalah faktor-faktor utama yang menyumbang kepada kecemerlangan SBP.

Sebelum saya akhiri penulisan saya, saya ingin memohon maaf jika kata-kata saya menyakitkan hati mana-mana pihak. Saya sama sekali tidak ada rasa benci atau niat untuk menghina mana-mana sekolah selain SBP. Jika kedengaran sedemikian, saya ingin memohon keampunan.

Akhir kalam, saya harap penulisan ini sedikit sebanyak dapat membuka mata para pelajar mahupun ibu bapa yang masih tidak jelas atau ragu-ragu dengan kelebihan dan kredibiliti SBP.

Secara peribadi, banyak kenangan pahit manis saya sepanjang berada di SBP yang pada saya membentuk diri saya pada hari ini. Tanpa SBP, mungkin saya tidak dapat mengenal pasti potensi diri saya yang sebenar sampai bila-bila.

Itu sahaja daripada saya. Assalamualaikum dan terima kasih.

- Aidil Iskandar

--

--

This Is Aidil

I am a student and simply a human being. I write to express my ideas about the things I love and hate.